Dibawah merupakan cerita anak kerang bersama ibunya yang sangat menarik diambil dari blog 'The Precious Moment' kak tirana dengan izinnya untuk tatapan semua. Mengingat dan menyedarkan saya bahawa kita perlu belajar berdikari dan tabah menghadapi segala rintangan dalam hidup ini. Segala rintangan dan dugaan mungkin ada rahmat disebaliknya.
Pada suatu hari anak kerang mengadu kepada ibunya akan kesakitan yang dialami bila tubuhya yang lembut itu dimasuki oleh sebutir pasir. Apa yang mampu dilakukan oleh ibunya untuk menolong selain dari sama-sama mengalirkan airmata melihat penderitaan anaknya.
"Anakku..Tuhan tidak menganugerahkan kepada ibu tangan yang mampu menolongmu membuang pasir itu. Ibu tahu pasir itu amat menyakitkan sekali tapi terima dan redhalah ia sebagai takdir alam. Kuatkan hatimu. Hadkan pergerakanmu. Pertingkatkan semangatmu melawan rasa ngilu dan sakit yang menggigit itu. Balutilah pasir itu dengan tubuhmu yang lembut itu. Hanya itu yang mampu kau lakukan" kata ibu kerang dengan perasaan sayu.
Anak kerang menuruti nasihat ibunya namun rasa sakit itu tetap dirasakannya. Dengan linangan airmata ia bertahan dari hari ke hari...bertahun lamanya. Tanpa disedari pasir tadi bertukar menjadi sebutir mutiara. Rasa sakit yang ditanggungnya sejak sekian lama dirasakan telah terbayar. Penderitaannya bertukar menjadi mutiara yang berharga.
Cerita di atas menggambarkan bahawa penderitaan adalah satu transaksi untuk mengubah "kerang biasa" menjadi "kerang yang berharga". Keperitan dan penderitaan dapat mengubah kita sebagai "orang biasa" menjadi "orang yang luar biasa". Itulah yang dialami oleh beberapa orang yang terkenal seperti Mahatma Ghandhi, Abraham Lincoln, Nelson Mandela dan lain-lain lagi.
Penderitaan yang dihadapi dengan kesabaran dan ketekunan yang luar biasa akan mengubah kita menjadi seorang yang luar biasa tabahnya. Proses terbentuknya mutiara yang berharga iaitu ketabahan mengajar kita supaya bertekun dalam berdoa dan mendidik kita supaya yakin kepada Allah dalam menghadapi penderitaan dan masalah-masalah kehidupan. Apabila kita tekun berdoa dan redha, maka Allah akan mengubah penderitaan dan masalah kita menjadi mutiara-mutiara yang indah. Hikmah yang didatangkan-Nya bersama airmata penderitaan akan lebih diingati dan dihargai.
No comments:
Post a Comment