Showing posts with label Bersalin. Show all posts
Showing posts with label Bersalin. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

Sewaktu Berpantang

Salam sejahtera kepada pembaca blog ini. Wow sudah lama saya tak update blog. Maklumlah sudah ada anak masa sentiasa busy untuk si kecil. Tajuk ni kalau diikutkan sudah basi bagi saya. Tapi mungkin tidak bagi pembaca. Sebenarnya ini adalah versi kedua saya. Versi pertama hilang disebabkan waktu tu saya tak tahu blogspot tengah dalam maintenance. Maka susah payahlah saya menulis semula.

Kurang Rehat

Sebelum ni saya ada cakap saya upah orang jaga sewaktu berpantang. Memang saya memerlukan bantuan sebab saya memang tak mampu bergerak lebih. Terutama sekali bila anak saya waktu tu asyik meragam dan nangis sentiasa. Dengan tak cukup tidurnya dan sakit di bahagian tempat bedah saya jadi kurang rehat. Tiap malam anak saya tido pukul 1 pagi bila siang pula selalu nangis. Belum lagi kena bangun bancuh susu. Tidur satu jam penuh then kena bangun dan proses yang sama berulang. Nasib mak mertua dan kakak ipar saya bergilir tidur di rumah pada sebelah malam tolong apa yang patut. Terutama sekali bergilir memujuk anak saya. So siang tu saya mengambil kesempatan tidur sekejap sementara pembantu saya jaga anak. Nasib saya upah pembantu....


Kisah Pembantu

Pembantu saya kerjanya beri mandi, jaga baby, masak, cuci baju dan kemas apa yang patut. Dia juga sepatutnya tolong saya dari segi persiapan diri. Dia berumur dalam lingkungan 40an dan ada 4 orang anak. Masalah saya dengan pembantu saya ni ialah dia datang ke rumah saya pukul 8.30-9.00 pagi suami dia yang hantarkan. Lepas tu berborak dulu tak kira dengan siapa. Sampailah masa nak masak dan cuci baju. Anak saya lambat dimandikan. Mungkin macam tu style dia kat rumah sendiri. Saya nak buat semua benda tak larat sebab badan saya belum kuat dan masih sakit di tempat bedah. Takut kalau bergerak lebih meroyan pula. Dahlah bilik saya di tingkat atas.

Satu lagi pada hari pertama pembantu saya tak hantarkan makanan ke bilik instead saya terpaksa turun ke bawah untuk makan. So saya suruh dia bawa makanan ke bilik pada esok hari. Dan juga dia tak sediakan makanan malam saya. Sekali tu saya suruh dia sediakan makanan malam. Tapi selepas tu dia tak sediakan sebab takut sejuk katanya. Yelah dia balik pukul 5pm. Lagipun saya masih kenyang tapi sekurangnya dia sediakan juga. So husband saya panaskan dan sediakan makanan untuk saya sebelah malam.

Lagi satu masakan yang dimasak selalu masin dan kurang sedap. Husband saya pun cakap macam tu. Kakak saya pula beritahu dari rupa saja dia dah tahu masakan tu tak sedap. Sedap lagi masakan mak mertua dan kakak ipar saya. Saya ada tegur dia kurangkan garam. Tapi tak lama lepas tu masin balik. Dah pula tiap hari dia akan tanya saya nak makan apa. Sampai boring saya nak memikirkan menunya. Rasanya dia memang tak pandai masak masakan orang lepas bersalin dan mungkin juga takda pengalaman.

Bila tiba masa untuk berurut, bidan yang selalu urutkan saya sebelum ni datang ke rumah saya. Bidan tu datang awal dalam pukul 9.30 pagi. Dia pun hairan kenapa anak saya tak dimandikan dan saya tak diuruskan. Akhirnya bidan tu pula volunteer mandikan baby dan tolong mandi dan sapukan minyak ubat ke badan saya. Rupanya macam tu kalau bidan yang sebenar jaga. Bidan tu ada juga perli pembantu saya kerana lambat masak. Pembantu saya sepatutnya datang lebih awal dan masak untuk tengahari kemudian beri mandi baby dan bantu persiapan diri saya. Menyesal juga tak ambik bidan.

Apa yang baik tentang pembantu saya ni ialah dia tak balik waktu tengahari so saya boleh sentiasa minta tolong. Lagipun dia suka sangat mengemas. Sampaikan barang dalam bilik saya dikemas dengan rapi. Dan dapur saya sentiasa kemas berbanding sebelum....hehe.

Jaundice dan Meroyan

Kalau diikutkan baby selalu kena kuning selepas dilahirkan tapi sebaliknya saya yang kena kuning. Sebenarnya dari bulan ketujuh masa pregnant saya start kuning. So waktu berpantang ni doktor tak suruh makan ubatan kampung. Buat perhiasan je ubat nona roguy yang saya beli. Mungkin sebab tu saya selalu gatal waktu pregnant. Atas rasa prihatin mak mertua saya belikan supplemen elken 'Fitorac' untuk sakit kuning.


Fitorac ni mengandungi buah dan sayur organik terdiri dari 7 kumpulan warna dan semulajadi detox hati. Kalau pregnant boleh makan fitorac. Alhamdulillah kuning saya beransur hilang. Sekiranya saya pregnant lagi dan kuning menyerang semula, saya akan beli fitorac.

Oleh sebab saya tak makan ubatan kampung, saya cuma ambik pati ikan haruan saja. Supaya luka bedah sembuh cepat. Ubatan secara luaran pula saya cuma sapu minyak meroyan dan minyak berubat nona roguy ke seluruh badan. Cuma kadang-kadang saya tak sapu minyak di kepala. Maka akibatnya saya kena meroyan di kepala. Penyumbangnya juga saya selalu keluar rumah sebab pergi ke klinik kesihatan check tekanan darah sebab waktu nak beranak tekanan darah saya tinggi. Sambil tu nurse check keadaan baby. Dahlah sakit di tempat bedah terpaksa juga saya tahan sambil berjalan.

Meroyan di kepala rasanya seperti sesuatu menyucuk tajam di kepala. Sampaikan saya menangis tak tertahan dengan rasa sakit. Makan panadol tak jalan. Jumpa doktor cakap ini bukan migrain tapi angin. Makan painkiller pun tak jalan. Doktor cakap selepas kita bersalin liang roma di badan terbuka maka angin senang masuk. Sebab tu seluruh badan kena tutup. Kalau kita breastfeed liang roma tadi akan cepat tutup dan rahim cepat pulih. Saya dahlah tak breastfeed dan tak makan ubat kampung lambatlah nak sembuh. Maka senang kena meroyan.

Saya minta pertolongan bidan yang mengurut saya. Esoknya dia datang dan saya disuruh berpilis. Meletup kulit kepala saya dibuatnya sebab bahan dalam pilis tersebut hangat dan pedas. Alhamdulillah selepas dua hari sakit meroyan hilang. Walaupun dah hilang saya tetap berpilis untuk elak datang semula. Mulai hari tu saya elak kipas angin menumpu ke arah saya.


Anak Meragam

Anak saya selama sebulan meragam sebab kempung perut rasanya. Sengsara jugalah melayan anak meragam sebab pada masa ni kasih saya pada anak belum kuat. Disebabkan juga saya berasa sakit di tempat bedah dan asyik memikirkan diri saya sendiri untuk pulih. Saya bertuah juga sebab mak mertua dan kakak ipar sudi membantu bila suami memohon pertolongan. Mengharapkan suami saya dia tiada pengalaman.

Mak mertua saya mempunyai satu cara mengeluarkan angin dalam badan menggunakan telur dan cincin silver. Mula-mula tu saya sangsi yelah macam mana telur boleh keluarkan angin dalam badan. Dia dapat petua ni dari seorang bidan dari mukah. Telur tersebut direbus dengan api kecil supaya kulit telur tak pecah. Pastikan telur betul-betul masak. Lepas tu dibuang kulit dan dibelah dua. Letakkan cincin silver yang warnanya bersih tak hitam di tengah dalam telur dan tutup semula. Balut telur tersebut dengan kain yang nipis dan pastikan telur masih suam dan sapukan ke seluruh badan terutama sekali di bahagian perut. Bila selesai buka telur tersebut dan lihat warna cincin silver. Kalau hitam bermakna banyak angin dan proses yang sama perlu dilakukan selalu menggunakan telur yang baru sehingga cincin berwarna kekuningan. Terpulang kepada seseorang percaya atau tak. Tapi saya dah cuba. Cara ni lambat.

Oleh kerana mak mertua saya risau melihat keadaan anak saya, dia suggest suami saya pergi farmasi beli ubat untuk baby kembung perut. Sebelum ni saya ada beli gripe water tak menjadi. Atas cadangan orang farmasi, suami saya beli ubat Disflatyl. Harganya dalam rm20 ke atas. Alhamdulillah selepas mengamalkan ubat tersebut selepas sebulan anak saya kurang meragam. Saya seorang dapat menjaganya berbanding sebelum ni.


Bila dikenang kembali semasa berpantang dan sekiranya saya pregnant lagi saya akan lebih bersedia. Saya akan buat list baru persiapan untuk berpantang pada masa hadapan.



Sunday, January 23, 2011

Kronologi Pengalaman Bersalin

Assalamualaikum / Hi kepada sesiapa yang membaca.......

Dah lama saya tak update blog. Saya baru lepas bersalin pada 25hb December lepas. Cun hari krismas. Alhamdulillah saya dan baby boy sihat. Disini saya ingin cerita kronologi masa saya nak bersalin. Bila dikenang balik beranak memang sakit. Di situ kita dapat rasa pengorbanan ibu masa melahirkan kita.

22 December 2010:

Checkup Di Hospital
Checkup di hospital seperti biasa. Kebetulan doktor nak scan. Akhirnya doktor beritahu baby boy. Saya tanya doktor kalau sekiranya saya belum rasa nak beranak pada due date 26hb, doktor suruh pergi saja ke wad bersalin pada tarikh tersebut. Sebenarnya saya ada rasa was-was dengan tarikh due date tu. Tarikh tu berdasarkan ramalan doktor melalui scan. Tepat ke tidak ramalan doktor tu.

Melawat Wad Bersalin
Kakak saya yang sama tempat kerja suruh saya pergi di hospital umum sarawak. Saje check macam mana rupa wad tersebut dan supaya nanti tak tercari-cari wad bersalin time nak bersalin nanti. Lagipun hospital dekat dengan tempat kerja. So lepas balik dari kerja petang tu kitaorang pergi ke wad tersebut. Macam ok je. Saya tak boleh masuk cuma cakap kejap dengan nurse kat tempat kaunter. Balik tu saya joke entah-entah esok saya nak bersalin.

Mula Rasa Tak Selesa
Waktu malam pula saya rasa tak selesa. Saya tak tahu samada sakit tersebut kontraksi atau sebaliknya. Masa tak tentu. Kadang-kadang saya meraung kecil menahan sakit. Husband saya bingung dan ajak pergi ke hospital. Saya cakap belum tiba masanya dan belum ada tanda nak bersalin macam keluar darah ke atau pecah air ketuban.


23 December 2010

Keluar Darah
Saya tak tentu tido. Tak boleh nak tido bila sakit kontraksi datang. Jarak masa antara rasa sakit tu tak tentu. Pagi ni saya bangun awal dari waktu biasa lagipun nak turun kerja. Bila kencing nampak keluar darah. Terus saya ajak husband pergi hospital tapi sebelum tu saya sempat lagi mandi. Waktu tu pukul 6.30 pagi. Belum sarapan lagi.


Check Bukaan Rahim
Sampai kat wad nurse terus bawa ke bilik check jantung baby selama 20 minit. Tak lama lepas tu datang doktor perempuan masih muda lagi. Muda dari saya lagi. Sambil tunggu tu dia soal macam-macam. Bila time nak check bukaan tu saya dah rasa lain. Sakit ke tak seluk ni sebab baca kat blog orang lain macam sakit je. Sebenarnya masa kena seluk tu taklah sakit sebab diaorang pakai KY Jelly. Bukaan baru 1cm. Doktor senior suruh balik sebab rumah dekat. Bila dah sakit sangat dan kontraksi setiap 10 minit baru pergi hospital. Saya telefon ofis cakap saya minta terus cuti materniti mulai hari ni. Minta husband beli macam-macam makanan sebelum saya mula berpantang takut kempunan. Roti jala, nasi dagang dan prosperity burger mcd. Sedap seh!

Sakit Lagi
Malam pula pukul 10.30 saya tak boleh nak tido sebab sakit. Sakit tu makin kuat berbanding pagi tadi dan masa kontraksi tak tentu.


24 December 2010

Nak Sangat Admit
Sampai pukul 3 pagi saya dah tak tahan dengan rasa sakit tersebut. Saya rasa nak admit ke hospital. Saya gerak husband suruh hantar ke hospital sekarang. Sampai kat wad, jantung baby check lagi. Prosedur yang sama berulang. Kali ni doktor lelaki india pula bersoal jawab. Malu ada tapi ape boleh buat terpaksa. Doktor cakap bukaan masih 1cm. Alahai punyalah lambat nak buka rahimku ini. Doktor suruh balik juga sebab wad mungkin full dan sekiranya bukaan saya masih kecil dan ada orang lain yang lebih memerlukan, saya terpaksa balik. Ape boleh buat balik je lah. Pukul 5 pagi kitaorang balik.

Malas Nak Pergi Klinik Kesihatan
Sepatutnya saya ada appoinment di klinik kesihatan pagi ni. Macam biasa check ibu mengandung. Oleh kerana saya letih tak cukup tido saya malas nak pergi. Lebih baik saya tido. Pagi tu saya kol klinik yang saya tak pergi check sebab dah pergi hospital. Hehehe...sekurang-kurangnya saya bagi tahu diaorang.

Kontraksi 10 minit
Waktu malam menjelma tahap sakit kontraksi bertambah berbanding awal pagi tadi. Lagilah saya meraung dan berjalan kehulu kehilir tak duduk diam. Saya tak tido. Saya catat kontraksi datang setiap 10 minit. Tapi saya tunggu. Fobia kalau disuruh balik lagi.


25 December 2010

Air Ketuban Pecah
Husband risau bila saya meraung kesakitan. Pukul 4.30 pagi air ketuban saya pecah. Saya beritahu husband dan terus dia kaget. Kali ni takde alasan doktor nak suruh saya balik. Check lagi jantung baby. Doktor ambik darah. Doktor muda tak tahu samada doktor pelatih. Punyalah lama dia cuba nak ambik darah. Cucuk sini tak keluar darah cucuk sana tak juga. Dia complaint pula cakap saya tak kuat bekerja. Urat halus. Dalam hati saya cakap kau tu yang tak pandai ambik darah. Sebelum ni saya banyak kali diambil darah takde masalah. Lastly dia suruh doktor lain ambik. Dapat pula.

Menahan Kesakitan
Tiap kali doktor tanya sesuatu cun masa kontraksi datang saya diam je menahan sakit. Sebaik sakit tu hilang baru saya jawab. Saya tengah duduk menunggu entah ape lepas diambil darah. Tiba-tiba datang doktor lain rasanya doktor senior tengok saya tengah tahan sakit. Dia marah kat doktor-doktor junior atau pelatih rasanya kerana buat pesakit tunggu lama. Bukan saya sorang beberapa orang sedang menunggu. Tapi diaorang tunggu untuk discan. Doktor senior tu check lagi bukaan rahim. Dalam check tu dia beritahu sesuatu medical term kat doktor junior tadi sambil marah. Doktor junior cakap baby saya dah berak. Lepas tu saya disuruh admit pergi ke bilik bersalin. Time ni masih waktu pagi rasanya pukul 7.

Mata Kuning
Saya memang dah tak tahan menanggung sakit. Perut mengeras tapi belum ada rasa nak meneran. Memang sakit nak beranak. Saya diam tahan sakit. Tak boleh makan dan minum. Nyesal tak makan sikit dulu sebelum ke hospital. Doktor pula perasan mata saya kuning macam jaundice. Saya perasan mata saya kuning tapi saya dah check kat klinik doktor cakap asalkan badan saya tak kuning kira ok. Doktor kat hospital soal macam-macam nak siasat jaundice.

Rasa Nak Meneran
Dari pagi sampai malam saya menahan sakit dan kelaparan. Sengsara. Nasib doktor ada bagi ubat tahan sakit. Itu pun untuk sekejap je. Waktu petang saya dah mula rasa nak meneran. Sakit lagi bila menahan rasa nak meneran bila bukaan masih belum cukup besar. Kalau tak dah lama saya meneran. Tekanan darah saya sepanjang hari tinggi (preeclampsia) dan degupan jantung baby pula tak cantik. Diaorang pasang tv sepanjang hari tapi saya tak tengok sebab concentrate dengan kesakitan. Saya heran kenapalah ada tv dalam bilik bersalin. Saya cuma sebut 'Allah' saja bila sakit nak datang. Nak baca doa panjang sikit tak tersebut.

Emergency Caeserian
Doktor pakar datang dan beritahu setiap satu jam bukaan akan buka 1cm. Tapi bila dikira saya dah lebih 10 jam ni. Kalau tak terpaksa bedah. Saya kalau boleh nak beranak secara normal tapi akhirnya pukul 7 malam saya emergency caeserian. Doktor cakap bagi menyelamatkan anak. Saya pula jawab ok sebab saya dah tak tahan tanggung sakit. Terus saya dibawa ke bilik bedah. Saya disuruh sign beberapa dokumen sebelum ke bilik bedah dan saya suruh doktor kol husband saya. No hp husband saya dah berubah dan saya tak catit nombor baru kat buku merah. Terpaksa saya check kat hp bagi kat doktor.

Dalam Bilik Pembedahan
Dua kali saya disoal samada saya yang sign dokumen tersebut bila dekat dengan bilik bedah. Susahnyer nak jawab tiap kali kontraksi menyerang. Sampai di bilik bedah diaorang rasanya check blood pressure. Beberapa kali diaorang tangguh mungkin blood pressure tak ok. Lepas tu saya dibius separuh badan (epidural). Injection kat bahagian tulang belakang. Tak sakit. Sakit kontraksi hilang lepas dibius. Kemudian diaorang pasang macam papan kat area perut supaya saya tak nampak. Tangan saya diluruskan ke tepi macam bentuk T bukan ke tepi badan saya. Ada pembantu doktor berada disebelah bercakap dengan saya mungkin suruh saya tenang.

Semasa Pembedahan
Sebelum mula pembedahan doktor tanya dulu samada saya ada rasa sakit tak dan kaki saya dah rasa berat tak. Kaki dah rasa berat memang tak rasa apa-apa dan tak lama selepas tu semua bahagian bawah tak rasa sakit. Doktor cakap saya boleh rasa sentuhan tapi rasa sakit tak ada. Waktu ni saya rasa sangat lega sebab sakit nak beranak hilang. Saya perhati bahagian tepi dinding kalau ada cermin dapat memantulkan aktiviti pembedahan. Tapi tak ade. Saya memang langsung tak nampak doktor masa pembedahan. Apa yang saya rasa ialah masa doktor tekan bahagian bawah ulu hati saya rasanya dia nak tolak baby keluar. Rasa nak gastrik saya dibuatnya sebab tak makan sepanjang hari. Tak lama lepas tu saya rasa perut kempis dan saya agak mesti baby dah keluar. Kemudian bunyi baby menangis saya terus rasa lega sebab saya dah risau kalau dia tak nangis. Rasanya lepas baby dibersihkan nurse tunjuk saya baby dan tanya jantina baby. Saya jawab lelaki. Punyalah sejuk kat bilik pembedahan. Doktor tanya saya ok tak saya jawab badan saya sejuk sangat.

Sebelum Ke Wad
Diaorang kemaskan badan saya dan terus saya dibawa ke kawasan pemulihan rasanya. Disitu saya dipanaskan. Rasanya lepas setengah jam saya dibawa keluar menuju ke wad. Diluar ahli keluarga saya dan mertua rupanya sedang menunggu. Saya senyum je kat mereka terus saya dibawa ke wad. Dapat senyum sebab belum rasa sakit selepas pembedahan.


Nanti saya cerita pula pasal sewaktu saya kat wad dan masa berpantang......masa ni saya tengah berpantang. Tinggal dua minggu lagi nak habis.